Jumlah Rakan Datang Menjenguk

Monday, May 24, 2010

Gold Investment Tips


1. Buy gold bars and coins instead of jewelry for investment. You may not get a good price for jewelry because of making and processing charges involved in it.

2. Look for hallmark or BIS sign on gold bars and coins. It is a sign of quality and purity.

3. Buy physical gold only from a well-known dealer or bank.

4. Gold should be viewed as a long-term investment.

5. Gold investors should not be "buy today and hope to make money tomorrow".

6. Gold should be seen as a store of value and insurance for your portfolio. When you buy insurance, you are not expecting to die tomorrow.

Sumber:
http://emas999-gold24k.blogspot.com/2010/01/pengurusan-kewangan-dan-simpanan-emas.html

Thursday, May 20, 2010

Nabi Muhammad s.a.w.; Model Usahawan Berjaya

Pasti anda tahu bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang usahawan. Tahukah anda baginda sudah bermula sejak berumur 12 tahun?

Di bawah jagaan bapa saudaranya, Abu Talib a.s. setelah kematian datuknya, Abdul Muttalib. Rasulullah s.a.w. telah mula mengikuti Abu Talib a.s. berniaga sehingga ke Syria. Abu Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika muda. Ketika itu baginda dikenali sebagai “Al Ameen”, seorang yang jujur, boleh diharap dan dipercayai.

Semenjak kecil lagi, baginda Rasulullah telah memperlihatkan kemuliaan akhlaknya serta keelokan budi pekertinya. Baginda pernah melakukan kerja-kerja menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya. Bermula dari sinilah titik tolak baginda menjalankan kerja-kerja perniagaan. Ketika baginda berusia dua belas tahun, baginda mengikut bapa saudaranya ke Syam atas urusan perniagaan.

Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga. Perjalanan ini merupakan perjalanan yang pertama dilakukan di luar Kota Mekah. Dalam perjalanan itu, baginda telah mengenali dunia perdagangan, menyaksikan peninggalan-peninggalan yang masih terdapat di daerah-daerah yang telah dilalui baginda dan melihat adat tradisi yang diamalkan oleh penduduk-penduduk negeri tersebut.

Pengalaman menjalankan peniagaan bapa saudaranya telah meninggalkan kesan yang jelas dalam diri baginda. Baginda dapat menjalankan perniagaan dengan baik serta mendapat keuntungan yang banyak. Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan di Mekah atau pun menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.

Oleh kerana kehebatan Rasulullah s.a.w. dalam perniagaan, baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul!) ketika berumur 25 tahun. Ketika usia itu, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Sayidatina Khadijah adalah seorang janda kaya dan saudagar yang masyhur. Beliau terkenal dengan kemuliaan budi pekertinya dan kekayaan hartanya.

Pada kali ini, baginda pergi ke Syam dengan ditemani oleh Maisarah iaitu pembantu Khadijah yang amanah, baik hati dan ikhlas. Pada suatu hari, ketika baginda menjalankan perniagaan di Syam, telah berlaku pertengkaran kecil di antara orang yang datang membeli dengan baginda. Orang itu meminta baginda bersumpah dengan nama dua patung ‘latta’ dan ‘uzza’ yang dipuja dan disembah oleh orang Arab ketika itu.

Apa yang diniagakan oleh baginda? Ianya termasuklah, herba, kain, wangian, kismis, kurma, dan juga barangan mewah untuk dijual kepada mereka yang berkemampuan. Ada satu ketika sewaktu baginda berniaga, Rasulullah telah memperolehi keuntungan lebih dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama, ini menunjukkan kehebatan baginda dalam berniaga!

Baginda menjawab dengan lembut tetapi tegas. Baginda mengatakan bahawa baginda tidak akan sekali-kali bersumpah dengan dua patung yang dibencinya itu. Keadaan ini memperlihatkan bahawa baginda Rasulullah tidak sekali-kali melakukan perkara-perkara yang dilarang agama khususnya dalam perkara aqidah biar pun hal tersebut boleh membawa faedah duniawi. Baginda sentiasa mengingatkan umatnya supaya tidak selalu bersumpah kerana baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Elakkanlah daripada terlalu banyak bersumpah ketika menjalankan urusan perniagaan kerana ia dapat menarik pelanggan dengan mudah tetapi menghapuskan keberkatan." Rasulullah menjalankan perniagaan dengan penuh kejujuran, amanah serta ikhlas sehingga baginda mampu memperdagangkan barang-barang Khadijah dengan mendapat keuntungan yang lebih banyak daripada apa yang diperolehi oleh orang lain sebelumnya.


Pengajaran daripada Sirah ini:

1. Rasulullah merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah: Bermaksud: "Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama baginda).

2. Baginda mengutamakan keredhaan Allah dan keberkatan mencari rezeki yang halal supaya perniagaan sentiasa berada dalam garisan syariat dan terhindar daripada corak perniagaan orang-orang kafir yang terdapat unsur penipuan, riba’, pengurangan dalam timbangan dan lain-lain. Oleh itu, kejujuran, amanah, menjaga segala gerak-geri dan tutur kata amat penting bagi seorang ahli perniagaan kerana sifat-sifat mulia itu akan menjadikan seseorang peniaga itu dipercayai. Rasulullah melarang jual beli barang yang mengandungi unsur tipu daya.

3. Rasulullah bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan baginda tetapi juga untuk mengukuhkan potensi baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh baginda bagi tujuan perniagaan. Muamaalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu-membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: "Dan hendaklah kamu bantu-membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu-membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan."

4. Semenjak usia baginda masih kecil lagi, baginda telah berusaha untuk menyara kehidupan dan tidak bergantung kepada bapa saudaranya. Baginda sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal seperti menjalankan perniagaan. Perkara ini perlu dijadikan pengajaran dan iktibar bagi anak-anak muda pada masa kini.

5. Walaupun Rasulullah tidak mempunyai modal sendiri untuk berniaga, baginda sentiasa berusaha untuk menceburkan diri di dalam bidang ini dengan mengambil upah daripada orang-orang yang mempunyai modal tetapi tidak dapat melaburkan modalnya sendiri, mereka memerlukan orang lain untuk menjalankan perniagaanya.

6. Oleh kerana baginda Rasulullah telah bekerja sejak daripada muda lagi, baginda telah dikenali ramai dengan sifat kejujurannya dan ketekunannya dalam bekerja. Keadaan ini menyebabkan peluang baginda untuk menjalankan perniagaan orang-orang yang memerlukan bantuan adalah cerah.

7. Perniagaan baginda Rasulullah ke atas harta Khadijah memperlihatkan kepada kita tentang sebaik-baik harta adalah dari hasil sendiri yang dapat dimanfaatkan untuk kebaikan diri sendiri dan masyarakat seluruhnya. Manakala seburuk-buruk kemewahan ialah kemewahan yang diperolehi tanpa kesusahan dan tidak memberi sebarang manfaat kepada masyarakat.

8. Selepas baginda Rasulullah berkahwin dengan Sayidatina Khadijah, baginda masih tetap menjalankan perniagaan seperti biasa dan menjadi pengurus dan rakan perniagaan isteri baginda sehinggalah baginda diangkat menjadi Rasul.

9. Baginda Rasulullah bekerja sebagai saudagar hanya untuk memenuhi keperluan hidup baginda dan bukan untuk menjadi jutawan kerana baginda tidak pernah menunjukkan kecintaan terhadap kekayaan. Oleh itu baginda menceburkan diri dalam perniagaan semata-mata untuk mencari rezeki yang halal dan memenuhi keperluan hidup seharian. Melalui penglibatannya dalam perniagaan, kita dapati bahawa baginda Rasulullah menjalankan perniagaan dengan penuh kejujuran dan keadilan. Sikap ini membuatkan pelanggan-pelanggan tidak pernah bersungut dan merasa berpuas hati dengan baginda. Tidak pernah terjadi pergaduhan di antara baginda dengan pelanggan. Segala masalah akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Sikap jujur, adil, amanah dan bertanggungjawab adalah merupakan prinsip asas dalam perniagaan. Prinsip ini sepatutnya menjadi contoh teladan kepada para peniaga dalam menjalankan urusniaga perniagaan.

10. Baginda Rasulullah sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah-lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan."

11. Pertukaran barangan yang diadakan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam urusniaga perdagangan merupakan pertukaran yang sah dan halal. Allah melarang manusia daripada mengambil barang orang lain tanpa mendapat persetujuan dan keizinan daripada mereka. Perkara ini penting untuk mengekalkan ketenteraman dan kesejahteraan di dalam masyarakat serta untuk menjaga hubungan baik dan mesra di antara ahli sesebuah masyarakat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nisa’ ayat 29: Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta yang ada di antara kamu dengan jalan batil melainkan dengan cara jual-beli suka sama suka (redha meredhai) di antara kamu." ‘Jalan yang batil’ termasuklah semua jual-beli yang mengikut jalan yang salah yang bertentangan dengan hukum-hukum prinsip Islam dan yang sesat serta tidak bermoral dan beretika. Semua perniagaan hendaklah dijalankan dengan persetujuan bersama bukan dengan jalan paksaan dan penipuan. Sabda Rasulullah s. a. w. Bermaksud: "Sesungguhnya jual beli itu hanya sah dengan cara redha meredhai (suka sama suka).

12. Riba’ dalam apa jua bentuk sekali pun adalah dilarang Allah, manakala semua jenis jual beli yang tidak terkeluar daripada syariat Islam adalah halal. Firman Allah SWT. Bermaksud: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba’.

Semoga sirah ini boleh menjadi inspirasi kepada kita semua dalam memulakan perniagaan dan menjalankan perniagaan dengan sempurna. Jadilah seorang usahawan Al-Ameen!

Sumber:
Majalah Muslimah (Jun 1999)
http://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/nabi-muhammad-saw-sebagai-usahawan-muda/

Sunday, May 9, 2010

Siapakah USAHAWAN???

Kenapa berniaga?
Berniaga adalah kerjaya mulia.
Usaha ini mempunyai kelas tersendiri di mana mereka yang terlibat akan memiliki keselesaan dari segi material, waktu yang fleksi dan menjadi majikan kepada diri sendiri.

Dari perspektif agama sendiri, karier dalam perniagaan turut diceburi oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Beza Peniaga dengan Usahawan?
Umumnya, peniaga adalah individu yang menjual produk dan perkhidmatan. Manakala, usahawan merupakan mereka yang memasuki alam perniagaan dengan perancangan yang teliti dan berencana. Kaji selidik dan strategi memajukan perniagaan serta matlamat halatuju telah disediakan dengan jelas dan terancang.

Golongan ini menceburi bidang perniagaan dengan hasrat untuk berkembang maju dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan. Mereka sentiasa berusaha memajukan perniagaan dengan pelbagai daya dan kreativiti.

Jati Diri Usahawan (ciri-ciri usahawan berjaya)
Kajian terhadap usahawan yang berjaya menemui satu personaliti umum yang dikongsi secara umum oleh mereka. Ia melibatkan hubungan multi-arah yang menjadi dorongan dalaman dan dorongan luaran yang berterusan. Dorongan ini boleh datang dari diri sendiri ataupun persekitaran dan kadangkala strategi. Perkara yang paling biasa ditemui pada mereka adalah bersikap positif dalam sebarang keadaaan. Tiada perkataan mustahil dan bersifat tidak pernah mengalah apabila menghadapi sebarang rintangan.

Di bawah adalah sebahagian dari ciri-ciri utama yang terdapat secara umum pada usahawan yang telah berjaya :

DORONGAN DALAMAN

a. Semangat Jayadiri
Selalu berfikiran positif, berdikari dan mempunyai motivasi yang tinggi. Sentiasa ghairah ingin memperbaiki tahap diri dan meningkatkan kedudukan ekonomi. Mahu mencari dan menterjemah peluang-peluang yang ada ke arah produktif.

b. Potensi
Menyedari dan tahu potensi diri sendiri dengan yakin. Kerana dunia perniagaan adalah berkisar di persekitaran merealisasikan potensi. Baik dari segi potensi diri menterjemah dan termasuk juga potensi barangan yang diperdagangkan.

c. Kawalan
Ia merangkumi kawalan berbentuk peribadi dari sikap negatif seperti tamak, menindas, menipu dan pelbagai sikap buruk. Pada masa yang sama, usahawan yang berjaya adalah mereka yang turut mampu mengawal situasi, harga, kos dan pelanggan. Mereka boleh mengawal perjalanan diri dan perniagaan daripada elemen negatif, baik ketika meniti kejayaan mahupun sewaktu merudum.

d. Mempunyai Halatuju
Usahawan yang berjaya didapati mempunyai pelan yang sempurna dan halatuju yang jelas. Mereka sedia maklum dan mahir dalam bidang yang diceburi serta siap siaga dalam menangani cabaran yang telah dijangka. Pelan luar jangka atau pelan ‘B’ telahpun disediakan untuk menghadapi perkara di luar kawalan. Satu sasaran telah disediakan bagi mengukur pencapaian dan meningkatkan tahap perniagaan.

e. Kreatif
Kreativiti amat penting dalam dunia perniagaan yang merupakan pentas persaingan.
Penawaran barangan dan perkhidmatan yang pelbagai dalam pasaran akan menyebabkan bakal pembeli dan pengguna rambang mata. Hanya dengan daya kreativiti yang tinggi sahaja, berupaya menarik pelanggan membeli produk yang ditawarkan. Begitu juga dalam menghadapi kemelesetan, melalui daya kreativiti usahawan, ia boleh ditangani dengan berhemah.


f. Kemahiran Berkomunikasi
Memang benar pepatah mengatakan ‘mulut mahu manis, hati mesti baik’ adalah merupakan ‘kunci kata’ kepada kejayaan perniagaan. Ia amat penting kerana proses berniaga adalah merupakan prosedur meyakinkan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan, sehingga menyebabkan pelanggan tertarik untuk membeli produk dengan harga yang ditawarkan. Proses 'meyakinkan' memainkan peranan utama dalam pemasaran produk dan membolehkan kita mengatasi pesaing.

g. Fleksibel dan Mudahalih
Daya serapan dalam perniagaan terhadap perubahan-perubahan pasaran dan keperluan pengguna serta senario setempat adalah penting. Menawarkan produk yang baik kepada golongan sasaran yang silap adalah satu kesalahan yang selalu dilakukan oleh peniaga IKS. Kerana itu, kepekaan terhadap keperluan dan sedia merombak serta ubahsuai bentuk dan bahan dagangan akan memastikan para peniaga tetap berdaya saing dan mampu menongkah arus. Perubahan, peningkatan dan rombakan strategi mesti dilakukan dari masa ke semasa demi kelangsungan perniagaan.

DORONGAN LUARAN

a. Cabaran Ekonomi
Cabaran ekonomi boleh datang dalam pelbagai bentuk. Sama ada akibat kehilangan pekerjaan, pertambahan bilangan keluarga ataupun kekangan sosial untuk meningkatkan status. Kadangkala, cabaran-cabaran ini telah melonjak individu daripada zon selesa mereka dan menghumban keluar individu daripada kepungan kepompong alam pekerjaan kepada alam perniagaan.

b. Kehadiran Peluang
Terdapat juga beberapa usahawan yang berjaya telah didorong melalui kewujudan peluang. Ini termasuk perniagaan yang berkaitan kontrak, francais, pembekalan dan seumpamanya. Golongan ini selalunya adalah professional yang berurusan dengan peniaga-peniaga yang tidak secara langsung didedahkan dengan dunia perniagaan.

c. Bimbingan
Memang mutakhir ini, kerajaan telah melahirkan ramai peniaga dan usahawan yang tergolong dalam kelas ini. Mereka ini memang dididik dan menerima bimbingan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.


Posted by Dato' Rozali Che Pin
http://info-bisnes.blogspot.com/

PERSEDIAAN menjadi USAHAWAN

Menceburi bidang perniagaan tanpa asas yang kukuh selalu menjerumus individu ke dalam situasi yang tidak menentu. Oleh itu, sebaik dan semampu mungkin usaha-usaha persediaan yang rapi perlu dilakukan demi menjamin kejayaan mutlak dapat dijana. Penyediaan dan persiapan yang dilakukan perlu meliputi aspek fizikal, material dan mental.

PRA-PERNIAGAAN

1. Mengumpul Maklumat
Pengumpulan maklumat adalah merupakan ‘kunci kejayaan’ kepada sebarang usahaniaga yang akan dijalankan. Analogi situasi berkenaan adalah seperti tentera yang bertempur dengan senjata dan tentera yang bertempur tanpa senjata.

Sumber maklumat boleh diperolehi dari pelbagai rujukan. Ia boleh diperolehi melalui program kursus, seminar, bahan bacaan dan petikan akhbar dan media elektronik termasuk internet. Dengan kewujudan pelbagai kementerian dan agensi yang ditubuhkan kerajaan, urusan untuk mengumpul maklumat adalah amat mudah dan menjimatkan masa dan wang.

2. Pilihan Bahaniaga
Pemilihan bahaniaga turut memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kejayaan suatu bidang perniagaan yang diceburi. Ini dapat dilakukan apabila kajian keperluan pengguna dan soalselidik dibuat terlebih dahulu. Ia tidak semestinya secara formal, tetapi boleh dilakukan melalui konsep tidak formal seperti tinjauan, perbualan, panggilan telefon, pemerhatian, Kajiselidik rambang dan juala percubaan.

Teknik lain yang boleh digunakan adalah mengkaji tahap percapaian pesaing. Tindakan ini adalah baik dan berkesan kerana dapat memastikan bukan sahaja tindakbalas pengguna, tetapi turut mendedahkan kelemahan pesaing, peluang dan juga nilai pasaran.

3. Pelan Perniagaan
Pelan perniagaan adalah merupakan kerangka kasar yang perlu disiapkan, dikaji, diteliti dan diberikan pertimbangan sewajarnya, sebelum sesuatu perniagaan dilaksanakan. Ini mesti dibuat supaya usahawan mempunyai kesedaran terhadap risiko dan potensi yang akan diharumi dalam perniagaan berkenaan.

Umumnya tujuan pelan atau rancangan perniagaan itu disediakan adalah kerana:
a. Memberikan justifikasi terhadap objektif perniagaan berkenaan termasuk risiko dan potensinya.

b. Memberikan gambaran kasar mengenai kemampuan usahaniaga yang bakal dilakukan termasuk daya majunya.

c. Memberikan anggaran awal terhadap sumber-sumber yang diperlukan dalam melaksanakan usahaniaga berkenaan.

d. Menyakinkan pembiaya dan rakankongsi yang akan menyertai usahaniaga.

e. Menyediakan satu garis panduan pelaksanaan untuk diikuti supaya tidak tersasar dari maklamat asal.

f. Boleh menganggarkan saiz, bentuk dan lokasi projek supaya bersesuaian dengan kemampuan modal, gunatenaga dan kemantapan pasaran .

Pelan perniagaan yang mudah dapat disediakan mengikut format dibawah yang mengandungi 7 bahagian :-

Bahagian 1 : Tujuan rancangan perniagaan.
Bahagian 2 : Latar belakang perniagaan.
Bahagian 3 : Latar belakang ahli kongsi.
Bahagian 4 : Rancangan pentadbiran.
Bahagian 5 : Rancangan pemasaran.
Bahagian 6 : Rancamgan operasi perniagaan.
Bahagian 7 : Perancangan kewangan.

4. Lokasi Perniagaan
Bahaniaga yang baik belum tentu mencukupi untuk menarik pelanggan sekiranya lokasi perniagaan tidak terletak di tempat yang strategic. Keadaan ini selalu berlaku sekiranya lokasi perniagaan terletak di pusat membeli belah. Tinjauan perlu dilakukan dengan teliti untuk memilih lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung.

Sekiranya premis perniagaan ingin ditempatkan di tapak sendiri di luar pusat membeli belah, pastikan kemudahan intrastruktur yang cukup terdapat di lokasi. Ini termasuklah kemudahan pengangkutan, talian telefon, air, elektrik dan tempat meletak kenderaan. Ini juga mestilah mudah dilihat dan dihubungi.

5. Mendaftar Perniagaan
Cabaran pertama usahawan IKS adalah untuk mendaftarkan perniagaan mereka. Kebanyakan individu mengambil jalan mudah dengan membeli syarikat sedia ada atau menyerahkannya kepada pihak ketiga untuk melakukannya.

Ini sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan. Secara tidak langsung ia akan menyusutkan sumber modal sedia ada. Sedangkan wang berkenaan sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih produktif. Panduan umum dan contoh praktikal bagaimana untuk mendaftar perniagaan dan borang-borang yang diperlukan mengikut jenisnya adalah seperti di Lampiran 2.
Turut dilampirkan di Lampiran 3 adalah senarai lokasi, alamat dan nombor telefon pejabat yang menguruskan pendaftaran perniagaan di seluruh Negara. Pengalaman mendaftarkan perniagaan sendiri adalah amat bermakna dan menjadikan anda lebih matang serta bersedia untu mengharungi kehidupan sebagai seorang usahawan.

Untuk mendaftarkan perniagaan tunggal dan perkongsian ia hanya perlu dilakukan dengan menggunakan Borang Pendaftaran Perniagaan (Borang A) seperti Lampiran 4. Ia mestilah dilengkapkan mengikut maklumat yang diperlukan. Berikut adalah perkara-perkara lain yang perlu disertakan:-

a. Salinan fotostat kad pengenalan setiap rakankongsi.
b. Bayaran RM30.00 untuk pendaftaran perniagaan tunggal.
c. Bayaran tambahan RM50.00 untuk perniagaan perkongsian.
d. Bayaran tambahan RM5.00 untuk setiap cawangan baru yang dibuka.

Nama perniagaan – tempahan terhadap nama perniagaan perlu dilakukan sebelum diluluskan untuk tujuan pendaftaran kerana dikhuatiri nama-nama berkenaan menyerupai entiti perniagaan lain atau bertentangan dengan undang-undang. Borang pendaftaran nama perniagaan ini menggunakan Borang PNA 42.

Lain-lain borang yang berkaitan adalah:-

Borang B1 : Perubahan Alamat Perniagaan
Borang B2 : Perubahan Jenis Perniagaan
Borang B3 : Perubahan Maklumat Cawangan
Borang B4 : Perubahan Maklumat Pemilik
Borang C : Menamat dan Menutup Perniagaan

Jenis-jenis Perniagaan
a. Pemilikan Tunggal (Sole-Proprietor)
Tertakluk di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 1978) (Akta 197). Entiti tunggal membawa maksud pernagaan ini adalah milik individu dan tidak melibatkan sebarang perkongsian. Kebanyakan peniaga kecil mendaftar perniagaan mereka untuk kali pertama di bawah kategori ini. Ia mudah, murah dan praktikal.

b. Perkongsian (Partnership)
Tertakluk di bawah Akta Perkongsian 1961 (Pindaan 1978). Ia bermaksud perkongsian perniagaan di antara dua individu dan tidak melebihi 20 rakan kongsi seperti yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 1965 [seksyen 14(3)(b)].

c. Syarikat Sendirian Berhad dan Syarikat Berhad
Ia boleh ditubuhkan dengan sekurang-kurangnya 2 orang pemegang saham dan tidak melebihi 50 orang keahlian. Ia tertakluk di bawa Akta Syarikat 1965 [Seksyen 15(1b)]. Ia merupakan entiti sah dan terpisah dari segi liabiliti dengan individu-individu pemilik. Syarikat Berhad pula adalah syarikat awam yang dimiliki oleh pemegang-pemegang saham. Pengawalan dan pengawasan syarikat jenis ini lebih professional, ketat dan mahal.

Proses mendaftar syarikat adalah sama sebagaimana mendaftar perniagaan dan diuruskan oleh pihak yang sama iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dokumen tambahan yang diperlukan adalah Memorandum dan Artikel Syarikat. Berikut adalah jadual bayaran yang dikenakan untuk mendaftar syarikat:

Jumlah Modal Syer dan Bayaran Pendaftaran
Kurang dari RM100,000 atau tiada syer - RM1,000.00
RM100,000-RM500,000 - RM3,000.00
RM500,001-RM1,000,000 - RM5,000.00
RM1,000,001-RM5,000,000 - RM8,000.00
RM5,00,001-RM10,000,000 - RM10,000.00
RM10,000,001-RM25,000,000 - RM20,000.00
RM25,000,001-RM50,000,000 - RM40,000.00
RM50,000,001-RM100,000,000 - RM50,000.00
Melebihi RM 100,000,000 - RM70,000.00

d. Koperasi
Ia boleh ditubuhkan oleh sekumpulan individu untuk bekerjasama terutama berkaitan aktiviti yang bersifat kebajikan dan menjaga kepentingan ahli. Ia tertakluk di bawah Akta Koperasi 1948 (Pindaan 1993).

Lesen Dan Permit
Selain perlu mendaftarkan perniagaan dengan pendaftar perniagaan atau pendaftar syarikat, para peniaga juga perlu mematuhi pelbagai peraturan yang berkaitan dengan urusniaga mereka. Ini termasuklah keperluan lesen dan permit yang berkaitan bahaniaga, bidang perniagaan dan lokasi tapak.

Peraturan ini perlu dipatuhi supaya tidak menimbulkan sebarang halangan dan kesulitan yang mengganggu kelancaran perniagaan. Umumnya, lesen dan permit yang diperlukan adalah daripada Kementerian Kewangan. Kementerian dan Agensi Kerajaan yang kita terlibat dalam hubungan perniagaan. Ia termasuklah daripada pihak berkuasa tempatan yang meluluskan premis perniagaan, TNB yang meluluskan bekalan elektrik, Telekom yang menyediakan sambungan talian telekomunikasi.

Sekiranya peniaga melibatkan diri dalam produk makanan dan peruncitan, maka kelulusan permit daripada Kementerian Kesihatan, JAKIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (barang kawalan) adalah diperlukan. Selain itu, perniagaan yang berkaitan import dan eksport turut memerlukan kelulusan daripada pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Kursus dan Latihan Keusahawanan
Sebagai persiapan dan memantapkan diri sebagai seorang usahawan, ilmu keusahawanan dapat diperolehi menerusi Kursus dan latihan keusahawanan. Kerajaan menerusi agensinya menyediakan pelbagai kursus dan latihan keusahawanan untuk para usahawan, antara kursus diperingkat mula seperti kursus asas perniagaan yang dikendalikan oleh MARA di seluruh Malaysia.

Sumber Modal
Modal boleh diperolehi dari dua jenis sumber iaitu sumber dalaman dan sumber luaran. Sumber dalaman adalah merupakan sumber peribadi yang diperolehi daripada hasil tabungan dan koleksi dalaman.

Manakala sumber luaran pula diperolehi daripada bantuan dana luaran yang berbentuk samaada pinjaman berjangka daripada institusi kewangan, bantuan badan kerajaan, subsidi ataupun geran, pinjaman peribadi dan pelaburan orang perseorangan atau rakan kongsi.

Selain dari itu kerajaan Malaysia amat komited dalam usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputra melalui pelbagai rancangan dan dasar yang diwujudkan. Dengan berakhirnya era Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada tahun 1991 dengan hasrat meneruskan usaha-usaha yang masih belum dicapai oleh DEB. Kerajaan juga telah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensinya.

Di bawah adalah ptogram-program yang dilaksanakan dan agensi pelaksananya.

Skim Usahawan Luar Bandar – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Program Vendor Elektronik – Proton
Program Pembangunan Francais – MECD
Program Kontraktor Wibawa – MECD
Program Latihan Keusahawanan
Tabung Pembiayaan Perniagaan Kecil, Skim Pinjaman CGC, MARA, Tabung Ekonomi Belia, TEKUN dsb
Program Usahawan Teknikal MARA
Program Usahawan Berjaya Utama – MEDEC
Skim Pembiayaan IKS
Modal Teroka – PUNB, PNS, MAVCAP
Skim Kilang Bimbingan – Bank Pembangunan Dan Industri, MARA
Skim Mentor–Menti – MECD
Program Penswastaan
Program Bimbingan Perniagaan
Program Usahawan Negara
Program Kontrak Pusat – Kementerian Kewangan
Program Vendor Perabot – Guthrie
Program Penyelidikan – MARDI
Program Perkampungan Perabot
Program Usahawan Muda – SEDC/MECD
Program Kaunseling Perniagaan – MEDEC
Program Vendor – Petronas, Telekom, TNB
Program Wira Mahir, Wira Usaha
Kelab Teknologi Bumiputra

Posted by Dato' Rozali Che Pin
http://info-bisnes.blogspot.com/

Saturday, May 1, 2010

Tips Perniagaan

10 Kesilapan Utama Dalam Perniagaan Kecil
Kesilapan-kesilapan berikut merupakan kesilapan umum yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan dan pemilik perniagaan kecil. Berhati-hatilah dengan kesilapan yang amat merbahaya ini...

1. Terlalu yakin dengan sesuatu idea dan taksub dengannya.
Jangan terlalu yakin dengan satu idea sahaja. Ingat, idea adalah matawang kepada usahawan. Pelbagaikan idea dan lihat yang mana berupaya memberi ganjaran dan kejayaan kepada anda.

2. Tiada Pelan Pemasaran.
Pelan Pemasaran boleh memberikan perhatian yang anda perlukan kepada pihak sasaran. Ia menjadi daya tarik pelanggan terhadap anda! Terdapat lebih dari 25 cara untuk memasarkan perniagaan anda dengan kos yang rendah ataupun tanpa melibatkan sebarang kos. Pelaksanaan pelan pemasaran secara berkesan, cekap, konsisten dan penuh bergaya dapat menjimatkan kos panggilan.

3. Tidak mengenali pelanggan anda.
Perubahan pada citarasa pelanggan dan juga produk serta perkhidmatan pesaing akan mempengaruhi perniagaan anda, kecuali jika anda kenal pelanggan secara dekat, tahu kehendak mereka pada masa kini dan masa hadapan, tahu corak pembelian mereka dan tahu bagaimana untuk membantu mereka walaupun anda tidak mempunyai produk ataupun perkhidmatan tersebut.

4. Tidak peka dengan kedudukan aliran tunai syarikat.
Walaupun anda mempunyai produk yang terbaik, pelanggan mungkin tidak akan membelinya dalam tempoh waktu yang anda fikirkan. Oleh itu kedudukan aliran tunai yang mantap penting untuk menampung diri dan syarikat anda dalam tempoh tersebut.

5. Tidak peduli tentang kakitangan.
Salah satu cabaran yang paling sukar bagi seorang usahawan atau pemilik perniagaan ialah untuk memberi motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Tanpa kesabaran, kesungguhan dan kemahiran, masalah tersebut akan menjadi lebih teruk. Moral dan produktiviti pekerja serta keuntungan syarikat boleh musnah dengan segera!

6. Keliru tentang kemungkinan dengan realiti.
Usahawan yang berjaya hidup di dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tetapi mereka berbelanja dalam dunia realiti.

7. Tiada pelan penjualan.
Tanpa pelan penjualan, maka tidak ada cara untuk mengukur perkembangan kewangan dan kemajuan perniagaan anda. Anda memerlukan plan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.

8. Penyendiri.
Anda mungkin tahu kesemunya tetapi anda tidak boleh melakukanya seorang diri dan berkembang pada masa yang sama. Anda perlukan kakitangan untuk mengagihkan tanggungjawab kepada mereka.

9. Tiada 'Mastermind'.
Anda perlukan satu lembaga penasihat ataupun seorang mentor! Bagi mereka yang mempunyai perniagaan yang kecil, ini mungkin tidak masuk akal. Lembaga penasihat ini mungkin terdiri daripada anggota keluarga atau sahabat yang anda percayai. Jadikan mereka Ahli Lembaga Pengarah, kaji pelan dan keputusan perniagaan bersama mereka. Adalah sangat kritikal untuk mempunyai seseorang yang boleh memberikan idea dan pandangan yang objektif.

10. Berputus Asa.
Kebanyakkan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan. Oleh itu, sekiranya anda gagal, biarkan kegagalan itu. Bangun dan belajar dari kesilapan dan kegagalan lalu. Jangan berputus asa dan menderita.