Jumlah Rakan Datang Menjenguk

Wednesday, April 14, 2010

Dunia BISNES ku...coretan...

Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Dulu arwah abahku adalah seorang pengurus bank Maybank dan mamiku adalah seorang usahawan 'hardware'. Arwah datukku pula semasa pemerintahan Jepun ke atas Tanah Melayu adalah pekerja dobi dengan penjajah Jepun. Kerabat keluargaku yang terdekat juga menjadi kaya dengan bidang bisnes.

Dari kecil aku telah didedahkan dengan suasana bisnes. Aku sudah biasa dengan kehidupan di sebuah kedai, melayan pelanggan, menyusun stok, dan sebagainya. Tidak ramai usahawan Melayu yang mengusahakan bisnes 'hardware' kerana ia memerlukan modal yang besar dan jaringan pembekal dan pelanggan yang pelbagai.

Kini, perniagaan tersebut telah dijual dan menjadi sejarah disebabkan mamiku tidak mampu lagi mengusahakannya seorang diri kerana kehilangan orang tersayang dan terpaksa menyara tujuh orang anak yang masih kecil, harapan tinggal kenangan. Aku adalah anak sulong dan telah ditinggalkan pada usia 11 tahun lagi oleh orang tersayang. Kemudian aku dibela oleh bapa saudaraku dan aku diberi amanah supaya menguruskan sebuah pasar mini di kampong pada usia yang sangat muda.

Dalam usia muda, aku telah terdedah dengan budaya bisnes. Pengalaman menguruskan sebuah pasar mini bukan senang pada usia yang sangat muda. Di sana aku belajar melayan pelanggan, menjaga kaunter wang, menyusun dan menyemak stok dan sebagainya. Malangnya, pasar mini tersebut menghadapi penghujung hayatnya setelah pemilik berpindah ke tempat lain. Itu adalah pengajaran pertama dalam hidupku.

Selepas itu, semasa tinggal bersama nenek (kini arwah), aku membantunya menjual kueh tradisional Melayu Kelantan iaitu akok dan bahulu di kedai-kedai kopi di kampong. Bukan sahaja membantu menjualnya, aku juga turut terlibat dalam proses pembuatan secara tradisional. Malangnya, aku gagal untuk menguasai ilmu pembuatan kueh-mueh tersebut. Pengajaran yang aku dapat ialah kueh tradisional ini masih berpotensi dalam pasaran masyarakat moden jika diusahakan dengan bersungguh dan bersistematik. Semasa di kampong itu juga, aku berpeluang bekerja di kilang pembuatan pasu bunga secara tradisional milik datuk saudaraku.

Semasa di sekolah menengah di kampongku, selain dilantik menjadi ketua kelas, aku adalah ahli koperasi di sekolah. Di sana aku terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan kepada para pelajar seperti alat tulis, buku-buku dan fotokopi.

Semasa bersekolah di MRSM Pengkalan Chepa pula, aku telah menyertai Program Usahawan Muda (PUM). Peserta program telah menubuhkan syarikat perniagaan olok-olok dengan melalui prosedur yang sebenar dengan empat buah syarikat kesemuanya. Setiap syarikat telah diberikan seorang mentor professional daripada pakar ekonomi negara. Mereka memberikan komitmen yang tinggi terhadap program tersebut. Aku telah dilantik sebagai eksekutif kewangan kerana aku mengambil subjek Prinsip Akaun untuk SPM. Aku bersama ketua eksekutif dan eksekutif yang lain bersama-sama dengan ahli-ahli syarikat telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan di dalam premis sekolah. Para pelanggan terdiri daripada kawan-kawan seangkatan di asrama, guru-guru dan staf sekolah. Produk kami ialah ayam proses segar, makanan dan minuman segera seperti keropok, mee segera, air kotak dan tin dan sebagainya. Kami juga telah membuka gerai burger semasa ada pameran di sekolah. Keputusan pada akhir program, syarikat kami telah dipilih sebagai syarikat yang paling berjaya kerana mendapatkan pulangan yang tertinggi untuk ahli-ahli syarikat.

Itu pengalaman di sekolah, di universiti aku tidak bergiat aktif sangat disebabkan bebanan kuliah, maklumlah pelajar kejuruteraan. Ada sesekali aku terlibat membantu kawan-kawan menjual ketika pesta konvokesyen dijalankan. Di sana aku terlibat dengan PALAPES sehingga 4 tahun perkhidmatan.

Selepas tamat pengajian di universiti, tempoh paling getir telah aku tempuhi kerana zaman kegawatan masih berlaku. Semasa dalam tempoh mencari, aku bekerja dengan sebuah syarikat menjual komputer sebagai ejen yang terlibat semasa kempen pengeluaran wang KWSP. Setelah pahit getir mencari pekerjaan di tanah kelahiranku, akhirnya aku dapat bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat kontraktor bumiputera. Aku telah diamanahkan untuk menguruskan beberapa projek di premis kerajaan termasuklah projek pembinaan terminal baru lapangan terbang. Aku tidak lama di syarikat tersebut kerana wujud masalah tidak puas hati terhadap majikanku.

Kemudian, aku menganggur lagi dan terus mencari peluang dan ruang untuk kelangsungan hidup. Aku telah mengambil ujian untuk menjadi ejen insurans konvensional dan bergerak secara berkumpulan dan solo. Aku juga pernah bekerja sebagai ejen jualan langsung SLM dengan pelbagai produk jualan seperti buku dan alat mainan kanak-kanak, peralatan rumah dan sebagainya. Aku bekerja secara berkumpulan dan berjalan merata tempat di bandar-bandar hampir seluruh Kelantan.

Kemudian aku dapat tawaran bekerja sebagai seorang guru ganti mengajar subjek Matematik Moden dan Tambahan di sekolah perempuan di bandar Kota Bharu. Setelah habis kontrak, aku bekerja pula sebagai wakil sebuah syarikat menjual buku pendidikan Inggeris di sekolah-sekolah. Aku juga pernah terjebak dengan tidak sengaja ke dalam kumpulan 'gores dan menang' untuk memperdayakan orang-orang kampong di Besut, Terengganu. Ketika itu, aku berasa tertipu oleh majikan aku kerana macam memperbodohkan orang kampong. Akhirnya, aku telah memporak-perandakan rancangan mereka seterusnya. Aku juga pernah terlibat dengan Skim Sangkutan Lanjutan (SSL) dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu dengan elaun RM500 sebulan.

Setelah puas meneroka negeri kelahiranku, aku membawa diri ke Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sana aku mengikuti kursus komputer anjuran Skim Lanjutan Graduan (SLG) dengan elaun RM500 sebulan. Di sana aku tinggal di sebuah kedai makan dan bekerja di sana. Aku bekerja sebagai pelayan selain menyediakan nasi ayam dan air kelapa serta membasuh pinggan mangkuk. Semasa kursus aku telah mengenali isteri aku sekarang.

Hampir 3 tahun aku mengumpul pengalaman mengenal erti kehidupan dan kemahiran yang tidak boleh dibeli. Kemudian aku menyertai sesi pemilihan untuk bekerja dengan kerajaan, aku telah lulus mendapatkan kerjaya idamanku dan kini bekerja di Kuala Lumpur. Kehidupan di kota memang memeritkan tapi inilah lubuk rezeki bagi mereka yang rajin dan cekal. Dulu aku bekerja sebagai ejen insurans konvensional, kini aku memilih sebagai wakil takaful separuh masa pula kerana atas kesedaran hukum syarak. Di sini aku telah banyak terdedah dengan bisnes MLM, beberapa syarikat telah aku sertai tetapi separuh jalan sahaja, bukan salah syarikat tetapi diriku yang kurang bernasib baik.

Kehidupan mesti diteruskan juga, pendapatan sampingan perlu dicari bagi menambah pendapatan sedia ada. Bukan gajiku kecil tetapi dengan gaji tersebut aku hanya boleh senang sahaja, cukup makan. Hendak menghantar mamiku atau mertuaku ke Mekah, jangan haraplah dengan gajiku ini atau hendak melancong ke luar negara jauh sekali.

Aku memaksa isteriku yang bekerja makan gaji dengan firma perancang bandar agar berhenti kerana gajinya pun tidak seberapa sebagai kerani kewangan. Maka isteriku menyertai Skim Usahawan Siswazah (SUS) anjuran MECD dengan kerjasama SME Bank setelah nama syarikat kami didaftarkan dengan SSM. Perancanganku sewaktu itu ialah membuka sebuah perniagaan perkhidmatan, kedai dobi. Perniagaan ini dipilih kerana berpotensi besar untuk maju kerana permintaan yang tinggi dalam pasaran di kota.

Kertas kerja untuk permohonan pembiayaan telah diluluskan tetapi malangnya proses untuk mendapatkan peruntukan pertama secara berperingkat mengambil masa hampir setahun. Keadaan ini seolah-olah tidak adil kepada bakal usahawan muda. Perancangan cantik di atas kertas hanya menjadi 'sampah' sahaja. Cuba bayangkan, kalau aku tidak bekerja dan terpaksa membayar sewa kedai dan bil utiliti walaupun bisnes belum mula. Habis wang simpanan aku dan anak-anak menjadi mangsa, aku mengharapkan pihak kerajaan memandang serius perkara ini.

Kini, hampir 3 tahun bisnes dobi aku dijalankan, alhamdulillah berkat kesabaran dan kecekalan hatiku. Pasaran hanya bergantung kepada pelanggan 'walk-in' sahaja. Insya Allah dalam masa terdekat aku akan membuka cawangan kedaiku di kawasan berhampiran dan harapan dapat masuk kontrak kerajaan dan swasta. Dalam bisnes ini, aku telah mengenali pelbagai karekter manusia di kalangan pelangganku dan pesaingku. Aku percaya jika kita hendakkan sesuatu mesti ada jalan yang mesti kita lalui untuk sampai ke sana.

Di samping itu, aku menyertai semula perniagaan MLM dengan syarikat yang semakin kukuh dengan produk yang terbaik di pasaran selain pelan pemasaran yang hebat. Dalam bisnes MLM ini kita hendaklah yakin dengan pelan pemasaran syarikat dan mencontohi pemimpin yang telah berjaya. Bagi mereka yang bergaji dan ingin menambah pendapatan sampingan, bisnes MLMlah yang paling sesuai kerana ia tidak terikat dengan masa dan kos 'overhead' berbanding dengan bisnes konvensional. Tetapi jangan mudah terpedaya dengan pulangan yang melampau-lampau tanpa usaha yang gigih kerana secara logiknya pihak lain tidak akan memberi anda pulangan yang sangat lumayan jika anda tidak berusaha gigih. Jenis manusia 4D (Duduk Diam Dapat Duit) atau 'tailor' iaitu goyang kaki dapat duit tidak sesuai menyertai bisnes MLM kerana malas berusaha dengan keringat sendiri. Berhati-hatilah juga dengan sistem piramid yang bersifat tidak adil kepada rakan kongsi bawahan. Harus kita ingat sistem bekerja dengan gaji sama ada dalam sektor kerajaan atau juga swasta adalah sistem piramid juga, anda bekerja kuat, bos anda yang dapat habuannya, betul tak? Kalau tidak betul maafkan aku.

Apa yang penting kita mesti amalkan sifat-sifat mahmudah dalam bisnes seperti amanah dan jujur dengan pelanggan, menyampaikan perkara yang baik selain mencari ilmu perniagaan yang bersangkutan dan memahirkan diri dalam bidang IT dan akhir sekali berserahlah kepadaNya. Wahai saudara dan sahabatku, tingkatkanlah usaha dalam mencari rezeki untuk kelurga kerana Malaysia adalah negara tumpah darah kita, kuasailah pelbagai ilmu dan jangan biarkan bangsa lain memperlekehkan kita.

Aku sudah puas hidup dalam kesusahan. Cita-citaku ingin menjadi seorang JUTAWAN dan DERMAWAN. Kini, giliran aku untuk membantu golongan yang berada dalam kesusahan. Inilah coretan duniaku dalam bisnes.

Bisnes adalah sunnah...

No comments:

Post a Comment