Jumlah Rakan Datang Menjenguk

Sunday, May 9, 2010

Siapakah USAHAWAN???

Kenapa berniaga?
Berniaga adalah kerjaya mulia.
Usaha ini mempunyai kelas tersendiri di mana mereka yang terlibat akan memiliki keselesaan dari segi material, waktu yang fleksi dan menjadi majikan kepada diri sendiri.

Dari perspektif agama sendiri, karier dalam perniagaan turut diceburi oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Beza Peniaga dengan Usahawan?
Umumnya, peniaga adalah individu yang menjual produk dan perkhidmatan. Manakala, usahawan merupakan mereka yang memasuki alam perniagaan dengan perancangan yang teliti dan berencana. Kaji selidik dan strategi memajukan perniagaan serta matlamat halatuju telah disediakan dengan jelas dan terancang.

Golongan ini menceburi bidang perniagaan dengan hasrat untuk berkembang maju dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan. Mereka sentiasa berusaha memajukan perniagaan dengan pelbagai daya dan kreativiti.

Jati Diri Usahawan (ciri-ciri usahawan berjaya)
Kajian terhadap usahawan yang berjaya menemui satu personaliti umum yang dikongsi secara umum oleh mereka. Ia melibatkan hubungan multi-arah yang menjadi dorongan dalaman dan dorongan luaran yang berterusan. Dorongan ini boleh datang dari diri sendiri ataupun persekitaran dan kadangkala strategi. Perkara yang paling biasa ditemui pada mereka adalah bersikap positif dalam sebarang keadaaan. Tiada perkataan mustahil dan bersifat tidak pernah mengalah apabila menghadapi sebarang rintangan.

Di bawah adalah sebahagian dari ciri-ciri utama yang terdapat secara umum pada usahawan yang telah berjaya :

DORONGAN DALAMAN

a. Semangat Jayadiri
Selalu berfikiran positif, berdikari dan mempunyai motivasi yang tinggi. Sentiasa ghairah ingin memperbaiki tahap diri dan meningkatkan kedudukan ekonomi. Mahu mencari dan menterjemah peluang-peluang yang ada ke arah produktif.

b. Potensi
Menyedari dan tahu potensi diri sendiri dengan yakin. Kerana dunia perniagaan adalah berkisar di persekitaran merealisasikan potensi. Baik dari segi potensi diri menterjemah dan termasuk juga potensi barangan yang diperdagangkan.

c. Kawalan
Ia merangkumi kawalan berbentuk peribadi dari sikap negatif seperti tamak, menindas, menipu dan pelbagai sikap buruk. Pada masa yang sama, usahawan yang berjaya adalah mereka yang turut mampu mengawal situasi, harga, kos dan pelanggan. Mereka boleh mengawal perjalanan diri dan perniagaan daripada elemen negatif, baik ketika meniti kejayaan mahupun sewaktu merudum.

d. Mempunyai Halatuju
Usahawan yang berjaya didapati mempunyai pelan yang sempurna dan halatuju yang jelas. Mereka sedia maklum dan mahir dalam bidang yang diceburi serta siap siaga dalam menangani cabaran yang telah dijangka. Pelan luar jangka atau pelan ‘B’ telahpun disediakan untuk menghadapi perkara di luar kawalan. Satu sasaran telah disediakan bagi mengukur pencapaian dan meningkatkan tahap perniagaan.

e. Kreatif
Kreativiti amat penting dalam dunia perniagaan yang merupakan pentas persaingan.
Penawaran barangan dan perkhidmatan yang pelbagai dalam pasaran akan menyebabkan bakal pembeli dan pengguna rambang mata. Hanya dengan daya kreativiti yang tinggi sahaja, berupaya menarik pelanggan membeli produk yang ditawarkan. Begitu juga dalam menghadapi kemelesetan, melalui daya kreativiti usahawan, ia boleh ditangani dengan berhemah.


f. Kemahiran Berkomunikasi
Memang benar pepatah mengatakan ‘mulut mahu manis, hati mesti baik’ adalah merupakan ‘kunci kata’ kepada kejayaan perniagaan. Ia amat penting kerana proses berniaga adalah merupakan prosedur meyakinkan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan, sehingga menyebabkan pelanggan tertarik untuk membeli produk dengan harga yang ditawarkan. Proses 'meyakinkan' memainkan peranan utama dalam pemasaran produk dan membolehkan kita mengatasi pesaing.

g. Fleksibel dan Mudahalih
Daya serapan dalam perniagaan terhadap perubahan-perubahan pasaran dan keperluan pengguna serta senario setempat adalah penting. Menawarkan produk yang baik kepada golongan sasaran yang silap adalah satu kesalahan yang selalu dilakukan oleh peniaga IKS. Kerana itu, kepekaan terhadap keperluan dan sedia merombak serta ubahsuai bentuk dan bahan dagangan akan memastikan para peniaga tetap berdaya saing dan mampu menongkah arus. Perubahan, peningkatan dan rombakan strategi mesti dilakukan dari masa ke semasa demi kelangsungan perniagaan.

DORONGAN LUARAN

a. Cabaran Ekonomi
Cabaran ekonomi boleh datang dalam pelbagai bentuk. Sama ada akibat kehilangan pekerjaan, pertambahan bilangan keluarga ataupun kekangan sosial untuk meningkatkan status. Kadangkala, cabaran-cabaran ini telah melonjak individu daripada zon selesa mereka dan menghumban keluar individu daripada kepungan kepompong alam pekerjaan kepada alam perniagaan.

b. Kehadiran Peluang
Terdapat juga beberapa usahawan yang berjaya telah didorong melalui kewujudan peluang. Ini termasuk perniagaan yang berkaitan kontrak, francais, pembekalan dan seumpamanya. Golongan ini selalunya adalah professional yang berurusan dengan peniaga-peniaga yang tidak secara langsung didedahkan dengan dunia perniagaan.

c. Bimbingan
Memang mutakhir ini, kerajaan telah melahirkan ramai peniaga dan usahawan yang tergolong dalam kelas ini. Mereka ini memang dididik dan menerima bimbingan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.


Posted by Dato' Rozali Che Pin
http://info-bisnes.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment