Jumlah Rakan Datang Menjenguk

Tuesday, April 6, 2010

Pasar MALAM










Sebut sahaja pasar malam, pasti semua orang tahu mengenainya. Kebanyakan rakyat marhaen pernah mengunjunginya untuk mendapatkan barangan keperluan harian, makanan dan minuman serta pakaian.

Walaupun gedung-gedung perniagaan telah banyak bertapak di Malaysia, namun pasaran untuk pasar malam tetap ada. Boleh dikatakan di setiap pinggir bandar atau taman perumahan terdapat banyak lokasi yang dikhaskan oleh PBT untuk dijadikan medan pasar malam.

Majoriti peniaga pasar malam terdiri daripada kaum Melayu serta Cina dan amat sedikit kaum India. Di sinilah kita akan menemui pelbagai menu makanan Malaysia daripada Kelantan, Kedah, Johor, Perlis, Pulau Pinang dan lain-lain lagi.

Boleh dikatakan, setiap pasar malam sentiasa meriah kecuali pada hari hujan lebat. Maklumlah bisnes pasar malam ini sangat bergantung kepada keadaan cuaca. Payung yang disediakan hanya mampu untuk melindungi barang-barang jualan sahaja.

Kebiasaannya, apabila tiba waktu pasar malam, jalan yang melalui kawasan berdekatan akan mengalami kesesakan jalan raya akibat jumlah kereta yang bertambah dan diburukkan lagi dengan keadaan kereta yang dipakir di tepi jalan akibat tiada ruang pakir.

Pasar malam mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan dan dijadikan produk pelancongan Malaysia. Tentu ramai yang tidak tahu, ada peniaga pasar malam telah menjadi jutawan secara senyap hasil daripada jualan mereka setiap malam di merata tempat. Jualan mereka mungkin hanya apam balik atau nasi campur sahaja. Malahan bertambah mewah pendapatan mereka kerana tidak dikenakan cukai pendapatan, manakan tidak pendapatan mereka tidak diisytiharkan kepada LHDN.


Pasar Larut Malam

Pasar Larut Malam konsepnya hampir sama seperti pasar malam biasa, cuma masa beroperasi mungkin sampai awal pagi. Terdapat satu pasar malam seperti ini yang semakin dikenali penduduk tempatan malah pelancong dalam negara iaitu Pasar Malam Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, Kelantan.

Pasar malam ini menjadi salah satu aset pelancongan negeri Kelantan kerana kepelbagaian produk jualan dengan mengekalkan budaya dan identiti tempatan. Pelbagai produk pakaian tempatan dan luar negara termasuk dari negara jiran boleh didapati dengan harga yang sangat berpatutan.

Apa yang membezakan pasar malam ini dengan pasar malam lain ialah khemahnya yang piawai kepada semua peniaga. Tiada lagi peniaga yang menggunakan set generator untuk mendapatkan bekalan elektrik untuk lampu dan sebagainya kerana bekalan kuasa daripada TNB telah disediakan secara sistematik. Pengurusan dan pemantauan dilakukan oleh pihak PBT dengan sewaan secara bulanan. Ada satu perkara yang paling menarik, semasa tiba waktu solat Maghrib dan Isyak, para peniaga tidak digalakkan berurusniaga dan digalakkan pergi ke surau yang dibina khas berdekatan dengan medan pasar malam untuk solat berjemaah.

Boleh dikatakan pasar malam ini adalah yang terbesar di Malaysia, lebih bersistematik dan lebih Islamik.


Pasar UpTown

Kini muncul lagi konsep pasar malam yang berlainan iaitu pasar atau bazar uptown. Konsepnya lebih kepada jualan kering iaitu produk-produk pakaian, aksesori rumah dan kereta, alat mainan kanak-kanak dan sebagainya.

Kebanyakan produk di sini adalah lebih terkini dan para pelanggan boleh membuat pilihan secara bijak.

Konsep pasar ini lebih terkenal di Lembah Klang seperti di Danau Kota dan Sri Gombak. Kebiasaannya, pasar atau bazar ini beroperasi selama 6 hari seminggu dan diuruskan oleh pihak PBT. Bayaran tapak jualan adalah secara bulanan dan peserta diberikan khemah yang piawai untuk setiap lot yang disewa.

Waktu operasi kebiasaannya bermula pada jam 9 malam sehingga 3 pagi. Perniagaan ini memberi ruang kepada warga kota untuk membeli-belah sehingga larut malam. Bazar ini telah memberi peluang kepada usahawan-usahawan Bumiputera untuk berbisnes dengan pelbagai produk yang menarik.

No comments:

Post a Comment